HO Member


Joined: Jan 01, 2010 Posts: 1401
|
Posted: Wed Jul 28, 2010 9:54 am |
|
|
12 bantah bina kuil kena denda
Oleh Rafidah Mat Ruzki
2010/07/28
SHAH ALAM: Semua 12 peserta perhimpunan haram yang membantah cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23, di sini, tahun lalu, didenda RM1,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Semua mereka disabitkan kesalahan selepas mengaku salah di hadapan Hakim Hasbi Hasan, terhadap pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai perhimpunan haram di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira jam 2.25 petang, 28 Ogos tahun lalu. Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Shah Alam, Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain; 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30; Mohd Hilmi Ni, 40; Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 56; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md. Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39, dikenakan denda berkenaan dan penjara sebulan, jika gagal membayarnya. Eyzva Ezhar dan Mohd Azmir, turut dikenakan hukuman tambahan selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana membawa dan memijak kepala lembu pada perhimpunan itu.
Eyzva Ezhar dihukum penjara seminggu dan didenda RM3,000, manakala Mohd Azmir didenda RM3,000 dan gagal membayar denda itu, boleh dipenjara selama tiga bulan. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada waktu dan tempat sama.
Hasbi mengarahkan Eyzva Ezhar yang sedang menjalani hukuman penjara bagi satu kesalahan lain membabitkan Akta Dadah Berbahaya 1952, menjalani hukumannya itu selepas tamat hukuman dijalaninya sekarang.
Bagaimanapun, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Ahmad Suhairi dan Mohd Hilmi yang menghadapi tuduhan sama, dilepaskan mahkamah daripada pertuduhan sama, selepas mendengar rayuan daripada pembelaan.
Terdahulu, peguam kepada semua tertuduh, Afifuddin Hafifi berkata, mereka tidak berniat menimbulkan ketegangan kaum, sebaliknya hanya berhasrat menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka.
Katanya, tertuduh juga sudah insaf dengan perbuatan mereka.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof, berkata tindakan semua tertuduh adalah perbuatan tidak sensitif, sedangkan Malaysia negara
pelbagai kaum.
Apa juga perbuatan berkaitan dengan agama perlu ditangani dengan cara yang lebih praktikal dan holistik, katanya. |
|